KELEBIHAN ORANG-ORANG YANG BERPUASA RAMADHAN

Puasa adalah satu ibadah yang difardhukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan umat baginda. Kefardhuan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah SWT melalui wahyuNya di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa, sepertimana yang telah difardhukan ke atas umat terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa”.

 

Terdapat banyak kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa. Abu Hurairah ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah SAW yang bermaksud “puasa itu perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor, jika ada seseorang yang mahu mencelanya, katakanlah kepadanya : sesungguhnya aku ini berpuasa - 2 kali -. Demi diriku yang berada di tanganNya, bahawasanya bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih wangi di sisi Allah daripada bauan kasturi, dia berpuasa dengan meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya semata-mata keranaKu. Ibadat puasa itu adalah untukKu dan Akulah yang akan memberi balasan pahala kepadanya, dan setiap satu kebajikan itu akan dilipat gandakan dengan sepuluh kali ganda”. ( Hadith riwayat al-Bukhari ).

Berdasarkan hadith ini sahaja, beberapa kelebihan akan dikurniakan oleh Allah kepada mereka yang berpuasa :

Pertama : Puasa itu adalah perisai. Perisai yang dimaksudkan di sini ialah perisai dari api neraka. Barangsiapa yang mahu terdinding dirinya daripada api neraka, maka hendaklah ia berpuasa.

Ada ulama menyebut bahawa puasa itu sebagai benteng atau penahan bagi orang yang berpuasa daripada segala nafsu syahwat yang merosakkan puasanya. Maka apabila seseorang itu berpuasa, ia akan dapat mengekang nafsu yang buruk bagi dialihkan perhatian kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kebajikan dan pahala.

Kedua : Adab seorang yang berpuasa ialah menjaga anggota pancaindera daripada melalakukan dosa dan maksiat. Di dalam hadith ini disebut secara jelas larangan mencela dan berkata kotor. Secara lebih umum, larangan ini merangkumi segala perbuatan buruk. Ini adalah kerana falsafah daripada ibadat puasa itu sendiri adalah untuk menghalang seseorang manusia daripada perlakuan negatif. Puasa bukan setakat tidak makan dan tidak minum bahkan anggota zahir dan batin turut berpuasa. Anggota badan seperti mata mesti dijaga daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan syarak. Mulut dan lidah pula hendaklah dikawal agar tidak memperkatakan perkara-perkara cela dan keji, begitu juga telinga, kaki, kemaluan dan seluruh anggota lain.

Seseorang yang berbohong atau berkata keji akan terhapus pahala puasanya, sepertimana hadith nabi yang bermaksud “sesiapa yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata bohong, dan selalu beramal dengannya (berbohong), maka tiada dinilai oleh Allah akan puasanya”

Ini ditambah dengan hadith lain yang bermaksud “ramai dari kalangan orang yang berpuasa tetapi tiada baginya pahala melainkan hanya berlapar dan dahaga sahaja”.

Ketiga : Kemestian menghiasi diri dengan sifat sabar. Di dalam hadith ini, nabi mengajar orang-orang yang berpuasa agar bersabar apabila adanya cubaan untuk mencela dan mengejeknya. Ini adalah untuk mengelakkan daripada perbuatan yang lebih buruk jika tiada sifat sabar kerana berkemungkinan akan berlakunya pergeseran, pergaduhan dan perbalahan sesama muslim. Sesungguhnya berlapar itu sendiri adalah latihan dan tarbiah Allah kepada manusia agar sentiasa bersabar menangkis serangan-serangan yang boleh menghilangkan pahala puasanya.

Keempat : Bau mulut orang yang berpuasa itu secara zahirnya agak kurang menyenangkan apabila terhidu oleh orang lain, tetapi sebenarnya di sisi Allah ianya amat wangi dan harum bahkan baunya adalah lebih wangi dari bauan kasturi. Ada ulama berpendapat bahawa wangian kasturi tersebut akan dikurniakan oleh Allah di hari akhirat kelak tempat dinilai segala amalan manusia.

Ada juga ulama yang berpendapat bahawa pahala yang sebenarnya akan dianugerahkan oleh Allah itu adalah lebih wangi melebihi wangian kasturi. Semua ini adalah kiasan dan perumpamaan daripada Allah sebagai dorongan kepada mereka yang berpuasa. Biasanya seseorang itu akan malu dan segan jika bau mulutnya yang kurang enak itu akan menyebabkan manusia lain menjauhkan diri daripadanya, tetapi apabila adanya jaminan Allah akan keharuman di sisiNya, sekurang-kurangnya dapat memberi keinsafan bahawa sebenarnya keredhaan Allah itu adalah lebih penting mengatasi keredhaan manusia.

Kelima : Puasa itu amat besar pahalanya yang akan diberi oleh Allah. Pernyataan Allah di dalam hadith melalui lisan nabiNya “dan puasa itu bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya” adalah satu bukti jelas betapa besarnya kelebihan dan banyaknya pahala berpuasa. Ini adalah kerana Allah itu sendiri sifatnya Maha Pemurah, maka apabila hamba-hambaNya diperintah supaya melakukan kebaikan dan kebajikan, Dia sendirilah yang akan membalasi pahalanya, dengan sendirinya ini menunjukkan betapa besar kadar balasan dan luas pemberiannya kepada manusia.

Para ulama ada menerangkan alasan kenapakah Allah SWT menyebut bahawa “puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya”. Ini adalah kerana puasa yang dilaksanakan itu adalah ibadat yang jauh dari sifat riak dan tersembunyi kerana semua orang diwajibkan berpuasa dan tiada peluang untuk orang lain berbangga dengan puasa yang dilakukannya. Tidak sperti solat, zakat, haji, bersedekah dan ibadat-ibadat zahir yang lain, perlakuan ibadat tersebut akan menjadi perhatian manusia lain dan berkemungkinan perlaksanaannya akan menarik perhatian orang yang melihat dan ini akan melahirkan perasaan riak kepada orang yang melakukannya.

Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa hadith tersebut bermaksud hanya Allah SWT yang mengetahui kadar pahalanya dan hanya Dia yang berhak menggandakan pahala tersebut sebanyak-banyaknya daripada segala jenis ibadat lain.

Sebahagian ulama lain pula berpendapat kenyataan hadith tersebut adalah sebagai tanda ketinggian ibadat puasa berbanding dengan ibadat-ibadat lain.

Pendapat yang lain ialah kerana orang yang berpuasa itu sabar dan sanggup menahan syahwatnya dan meninggalkan makanan semata-mata kerana Allah, maka kesungguhan itu pahalnya akan dikurniakan oleh Allah bergantung kepada sejauh mana keikhlasan dan ketulusan hati mereka yang berpuasa

Keenam : Kebajikan dan pahala kurniaan Allah di dalam bulan puasa akan dilipatgandakan olehNya dengan 10 kali ganda. Gandaan ini merangkumi segala amalan-amalan sunat dan kebajikan lain seperti sedekah, bacaan al-Quran, zikir, iktikaf dan sebagainya. Ia adalah sebagai galakan supaya ditingkatkan amal di sepanjang bulan Ramadhan dan bukan hanya sekadar berpuasa semata-mata bahkan orang-orang Islam berpeluang untuk mempelbagaikan amalan semata-mata untuk menuntut keredhaanNya.

Di bulan inilah peluang keemasan akan dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya kerana akan dibuka segala pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dirantai sekelian syaitan-syaitan.

Maka alangkah ruginya orang-orang Islam jika tidak mengambil peluang dan kesempatan yang ada ini. Berusahalah sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan Ramadhan dengan berpuasa di siang harinya dan menghidupkan malamnya. Semoga semua amalan yang dilakukan itu akan diterima oleh Allah SWT InsyaAllah.

 

 


Kemaskini Terakhir:  06/06/2013 - 15:23

Langgan Berita

Kami akan menghantar berita dan tazkirah untuk anda.

We have 7 guests online

PENAFIAN: Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada website ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 di atas (dengan resolusi 1024x768).